Rasa sungguh terharu bila diberitahu oleh seorang rakan yang baru-baru ini terpaksa mendapatkan rawatan bagi anaknya di Hospital Putrajaya yang kemudian anak beliau itu terpaksa ditempatkan ke dalam wad NICU, telah mengatakan yang beliau telah terlihat sekeping kad yang cukup-cukup dikenali. Atas jasa baik rakan itu, beliau telah secara sembunyi-sembunyi merakamkan kepingan kad tersebut.
Benar-benar tidak disangka, walaupun arwah Alesha telah lebih dari 2 tahun kembali ke rahmat Allah, pihak Wad NICU Hospital Putrajaya masih menyimpan kad ucapan kami. Tiada kata-kata yang mampu kami lahirkan untuk mengucapkan jutaan terima kasih di atas layanan, penjagaan, kata-kata semangat, kasih sayang dan simpati yang telah dicurahkan oleh para doktor dan kakitangan wad NICU Hospital Putrajaya itu.
**Hanya kad ini sahaja yang mampu kami jadikan penebus segala jasa para doktor dan jururawat di Wad NICU Putrajaya.Selama 5 bulan mereka menjaga, merawat, menyayangi, membelai, menyusukan dan mengasuh Alesha tanpa jemu dan dengan penuh tanggungjawab. Kami sebenarnya benar-benar cemburu kepada para doktor dan jururawat di Wad Nicu itu kerana merekalah sebenarnya "ibubapa" Alesha. Mereka lebih lama bersama Arwah dari kami ibubapa sebenar Alesha. Setiap kali kami datang melawat Alesha, setiap kali itu juga mereka menyatakan setiap perkembangan Alesha. "Hari ni Alesha dah naik sikit beratnya..." "Hari ni Alesha sudah mula tersenyum..." "Hari ini Alesha mendengar radio... paling dia suka dengar berita di radio..." "Hari ini Alesha sudah boleh meniarap..." "Hari ni keadaan Alesha teruk semula... dia sesak nafas balik..." "Hari ni doktor terpaksa masukan tiub penafasan pada Alesha..." Begitulah setiap hari. Ada-ada sahaja perkabaran dari jururawat yang menjaga Alesha. Kadang-kala gembira, tetapi lebih banyak yang mendukakan.
** Bingkai penghargaan yang tidak seberapa buat membalas budi selautan.Kerisauan, kedukaan dan sedikit kegembiraan kami terasa dikongsi bersama dengan semua warga Wad NICU. Malahan sewaktu Alesha dipindahkan ke Hospital Seremban di minggu terakhir hayatnya bagi membolehkan sedara mara melihat arwah, ramai jururawat di Wad NICU itu bersedih. Masih jelas teringat lagi sewaktu kepingan kad dan bingkai penghargaan dihantar ke Wad NICU, aku berselisih dengan Kak Nah, salah seorang jururawat yang menjaga arwah... beliau berlari naik ke Wad kerana mengingatkan bahawa Alesha telah dikembalikan semula ke NICU Putrajaya dari Hospital Seremban. Bila beliau tahu bahawa saya hanya menghantar kepingan kad dan bingkai penghargaan dan sedikit hamper pada masa itu, Kak Nah terus menelefon saya... "Kak Nah ingatkan En. Shamsul pulangkan semula Alesha... mana tahu Alesha tak serasi di Hospital Seremban..." Saat itu, terasa begitu arwah amat disayangi dan dihargai.
** Bingkai penghargaan Alesha masih tersimpan kemas di Wad NICU Hospital Putrajaya.Rupanya memang benar, seminggu selepas perpindahan arwah ke Hospital Seremban, Alesha Abriza kembali ke pangkuan penciptaNya. Mungkin benar Alesha tidak serasi dan merindui "ibu-ibu" nya di Wad NICU Hospital Putrajaya dulu. Tidak putus-putus kiriman sms dari doktor dan jururawat Wad NICU kami terima menyampaikan ucapan takziah. Malahan salah seorang doktor yang merawat Alesha sanggup datang ke Rantau diupacara pengebumian arwah... terima kasih Dr. Zarina.
Pada kami, sekali lagi tiada kata-kata yang bisa merungkai rasa penghargaan dan kasih sayang yang diberikan oleh semua warga Wad NICU Hospital Putrajaya itu. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Terima kasih semua....
~Laloque